Thursday, September 30, 2010

Ramadan tahun ini bermakna buat Muhammad

BEAUFORT :Ketibaan Ramadan tahun ini memberikan pengalaman baru kepada Muhammad Abdullah, 55, kerana ia memberi peluang kepadanya untuk melaksanakan ibadah puasa sejak memeluk Islam empat bulan lalu.
Mengakui ia bukan satu tugas mudah, Muhammad menambah, berkat sokongan keluarga yang turut bersama-sama memeluk Islam empat bulan lalu, ibadah tersebut berjaya disempurnakan.
''Mula-mula memang susah kerana terasa amat lama menunggu masa berbuka puasa. Badan agak letih memandangkan belum biasa berpuasa, tetapi Alhamdulillah, setakat ini saya mampu meneruskannya.
''Begitu juga dengan ahli keluarga saya. Kecuali menantu saya, ada di antara mereka yang telah lama masuk Islam," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau ditemui ketika menyambut rombongan ziarah Ramadan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) yang diketuai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Pengerusi USIA Bahagian Beaufort, Datuk Lajim Ukin.
Muhammad yang berasal dari Kampung Batu 60 Montenior di sini berkata, seramai 12 ahli keluarga di kampung berkenaan telah memeluk Islam.
Katanya, ahli keluarganya memeluk Islam tanpa sebarang paksaan.
''Pintu hati kami telah menerima hidayah dari Allah SWT untuk memeluk Islam dan hidup dengan cara Islam," ujarnya.
Menceritakan pengalaman memeluk Islam, Muhammad berkata, ia bermula ketika beliau terlantar sakit beberapa bulan.
Bagaimanapun, katanya, suatu hari beliau mendapat hidayah melalui mimpi yang beliau akan sembuh jika memeluk Islam.
Setelah memikirkan perkara itu semasak-masaknya, dia mengambil keputusan untuk memeluk Islam.
''Dalam masa seminggu, keuzuran saya semakin berkurangan dan akhirnya saya sembuh. Ini sekali gus memberikan keyakinan untuk saya menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim," katanya.
Muhammad berkata, selama memeluk Islam beliau sekeluarga dibantu oleh sukarelawan Perkim dan USIA mendalami ajaran Islam sebenar.
''Sebagai seorang mualaf yang baru memeluk Islam, saya amat terharu apabila pihak Perkim dan USIA sentiasa membantu kami, termasuk menziarahi keluarga kami baru-baru ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment