Wednesday, September 29, 2010

Bersatu laksana program dakwah





KOTA KINABALU:Semua agensi dakwah termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri ini perlu mengetepikan kepentingan peribadi dalam melaksanakan program dakwah.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata, semua agensi terbabit tidak harus berasa iri hati atau memandang serong mana-mana agensi yang berjaya melaksanakan program dakwah.
"Apabila ada usaha dari mana-mana badan termasuk NGO Islam lain melaksanakan program dakwah yang selari dengan ajaran Islam dan tidak bertentangan dengan undang-undang negara kita perlu menghargai dan menyokongnya.
"Jadi kita tidak perlu gusar dan bimbang jika berlaku persaingan yang sihat antara NGO Islam di negeri ini dalam melaksanakan program dakwah kerana apa yang kita fokuskan adalah program dakwah untuk masyarakat Islam bukannya untuk kepentingan peribadi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Beaufort di sini semalam.
Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi USIA, Sadih Nasah dan Naib Ketua USIA Bahagian Beaufort, Abdul Ghafar Rijim.
Menurut Lajim, semua pihak termasuk NGO perlu meningkatkan kerjasama bagi memperkasakan gerakan dakwah di negeri ini yang semakin mencabar.
"Keperluan gerakan dakwah di Sabah pada masa ini amat mendesak dan NGO Islam perlu terus berkongsi kepakaran masing-masing memandangkan setiap NGO ada kelebihan tersendiri.
"Melalui kerjasama yang dijalankan ia saling lengkap melengkapi antara satu sama lain kerana sesuai dengan sifat berdakwah iaitu saling bekerjasama," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, USIA perlu terus menggiatkan usaha dakwah secara menyeluruh dan berterusan di negeri ini.
Tambahnya, selain itu USIA juga perlu mencari pelbagai pendekatan baru bagi memastikan setiap program dakwah yang dijalankan berjaya mencapai matlamat.

No comments:

Post a Comment