Sunday, October 3, 2010

PERKIM SABAH WAJUDKAN PANGKALAN DATA UNTUK SAUDARA BARU

 Pengerusi Perhubungan PERKIM Sabah Datuk Seri Panglima Haji Lajim  Haji Ukin ketika berucap di majlis tersebut
 Saudara baru yang hadir ke majlis tersebut

 Timbalan Pengerusi  Perhubungan PERKIM Sabah yang juga Yang Dipertua (MUIS) Datuk Syed Abas Syed Ali turut menyampaikan sumbangan kepada saudara baru di majlis tersebut

LAJIM (dua dari kiri), Syed Abbas (kiri) dan Awadnir (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada golongan mualaf di kampung Tengkurus Abadi, Kota Belud.
KOTA BELUD: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Sabah akan mewujudkan pangkalan data mualaf untuk memudahkan penyaluran bantuan kebajikan, bimbingan agama dan meningkatkan kefahaman golongan itu terhadap ajaran Islam.
   Pengerusi Perhubungannya, Datuk Lajim Ukin, berkata pihaknya akan menumpukan program membantu golongan terbabit yang majoritinya miskin tegar dan lemah pengetahuan agama yang terdedah kepada ajaran agama asal sekiranya tidak mendapat bimbingan sempurna dan ketiadaan program untuk meningkatkan ekonomi mereka.
   Katanya, mereka juga tidak memiliki kemudahan asas untuk menunaikan ibadah seperti masjid dan surau serta tidak berpeluang mengikuti kelas pendidikan agama walaupun sudah lama memeluk Islam.
    "Golongan terbabit tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang bimbingan, pendidikan dan juga pendekatan bersepadu untuk terus kekal dalam Islam sehingga menghembuskan nafas terakhir," katanya kepada media selepas mengetuai program ziarah Ramadan PERKIM Sabah di Kampung Tengkurus Abadi, di sini kelmarin.
    Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perhubungan PERKIM Sabah yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abbas Syed Ali, Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Hamdan Sarudin, Imam Daerah Kota Belud, Madli Mansur dan Pengerusi PERKIM cawangan Kota Belud, Awadnir Matanggal.
    Pada majlis itu, Awadnir turut menyerahkan geran tanah yang diwakafkan menerusi Yayasan Awadnir untuk dibangunkan sebagai pusat perkembangan Islam PERKIM di beberapa kampung mualaf di sini meliputi pembinaan masjid, surau dan kelas pendidikan agama.
    Seramai 80 mualaf di Kampung Tengkurus dan sekitarnya turut menerima duit raya dan sejadah sumbangan Lajim dan Syed Abas.
   Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mengajak umat Islam di negeri ini yang belum mendaftar dengan pertubuhan sukarela berasas Islam supaya menyertai PERKIM Sabah untuk membantu menggerakkan aktiviti keagamaan terutama gerakan dakwah Islamiah untuk saudara baru.
    Katanya, PERKIM yang melebarkan sayap ke Sabah sejak awal tahun ini akan menggiatkan aktiviti kebajikan dan dakwah Islamiah mulai tahun depan.
   Dalam pada itu, Lajim berkata, PERKIM Sabah merancang untuk mewujudkan sebuah  pusat perlindungan khusus untuk ibu tunggal, anak yatim dan remaja bermasalah di negeri ini.
   “Pusat itu penting kerana ramai remaja terbabit gejala sosial manakala ibu tunggal dan anak yatim terbiar terumbang ambing tanpa  usaha untuk melindungi dan memberi bimbingan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik dan sempurna.
    "PERKIM Sabah turut memberi perhatian dalam bidang pendidikan khususnya agama dengan matlamat sekurang-kurangnya mulai tahun depan dua taman didikan kanak-kanak PERKIM diwujudkan di negeri ini sebagai projek perintis bagi memberikan pendidikan awal terhadap kanak-kanak.
   "Kita juga berterima kasih kepada Awadnir yang mewakafkan beberapa lot tanahnya menerusi Yayasan Awadnir untuk dibangunkan sebagai pusat perkembangan Islam PERKIM di beberapa kampung mualaf di sini meliputi pembinaan masjid, surau dan kelas pendidikan agama," katanya.

1 comment:

  1. Semoga database ini memudahkan kita membantu memantau dan mengesan golongan mualaf untuk memperkasakan dakwah Islamiah, peningkatan ekonomi dan pendidikan mereka.

    ReplyDelete