Sunday, October 3, 2010

LEBIH 500 MUALAF KEMBALI KE AGAMA ASAL

LAJIM (tengah) menerima plan tanah yang diwakafkan oleh Awadnir (kanan) untuk dibangunkan oleh PERKIM Sabah sambil diperhatikan Syed Abbas (dua dari kiri) dan Madli (dua dari kanan) di Kampung Tengkurus Abadi, Kota Belud.

 Antara saudara baru yang hadir ke majlis tersebut
KOTA BELUD: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) daerah mengesan lebih 500 mualaf di daerah ini kembali menganut agama asal dengan sebahagian besarnya akibat tiada bimbingan agama, masalah ekonomi dan keruntuhan rumah tangga.
    Pengerusinya, Awadnir Matanggal berkata ada antara saudara baru terbabit sudah menunaikan fardu Haji dan memeluk Islam lebih 20 tahun sebelum kembali kepada agama asal.
    Katanya, pihaknya turut mengesan kegagalan pendakwah sukarela, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam  Malaysia (JAKIM) mengesan lokasi golongan terbabit menyebabkan mereka terdedah kepada pengaruh agama asal termasuk Pagan.
   Beliau berkata, penempatan berselerak golongan terbabit iaitu dua hingga lima orang dalam satu kampung menyukarkan pihak berkuasa agama atau penderma mendirikan surau atau Kelas Al-Quran Dan Fardu Ain ( KAFA ).
   "Ada beberapa kampung yang didiami satu atau dua keluarga saudara baru yang gagal dikesan antaranya Kampung Kondis, Nahaba, Toburan, Dudar dan Sayap yang terlepas pandang daripada dakwah Islamiah sehingga mendedahkan mereka kembali kepada ajaran agama asal.
   "Sebab itulah PERKIM daerah bercadang menubuhkan zon saudara baru mengikut kampung bagi memudahkan bimbingan agama, memantau perkembangan dan bantuan kebajikan," katanya kepada Berita Harian, di sini, semalam.
   Awadnir turut mendedahkan pihaknya pernah menyediakan tapak untuk sebuah surau di sebuah kampung yang dirahsiakan, namun ditentang oleh penduduk kampung terbabit dengan alasan tidak ramai keluarga Islam di situ.
   Bagaimanapun, beliau bangga kerana saudara baru di Kampung Bangkahak Nayasan bersatu mendirikan surau yang sekali gus menjadi pusat pembelajaran agama, selain seorang penduduk Kampung Nahaba, Yuhanis Sintak, 34, menjadikan rumahnya pusat kegiatan agama.
  "Kita akan bergerak proaktif menyebarkan dakwah Islamiah di kawasan yang terdedah kepada saudara baru kembali menganut agama asal termasuk menghantar pendakwah bebas ke situ.
   "Kemiskinan adalah antara faktor utama saudara baru murtad kerana majoriti mereka golongan miskin tegar yang perlu dibantu oleh JHEAINS, JAKIM, USIA dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS).
   "Kita juga meminta orang Islam yang berkahwin dengan saudara baru supaya mendidik isteri atau suami dan anak mereka dengan ajaran agama sempurna dan jangan bercerai sewenang-wenangnya kerana ia mendedahkan kepada murtad," katanya.
    Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Sabah (SAHABAT), Abu Bakar Ongkosing, berharap PBNS membantu menaja saudara baru terutama di kampung minoriti Islam yang terdedah kepada murtad untuk melanjutkan pengajian ke universiti tempatan dan Mesir.
   Katanya, ini bagi membolehkan mereka kembali ke kampung halaman untuk berdakwah yang sekali gus mengurangkan risiko mualaf kembali ke agama asal mereka.
   "Golongan terbabit juga boleh bertindak membimbing saudara baru yang bercerai kerana mereka ini terdedah kepada gejala murtad yang dikesan berlaku di beberapa daerah seperti Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran dan Ranau," katanya.
  

3 comments:

  1. Perlu ada mekanisme dakwah berkesan untuk mentarbiah mualaf supaya kekal dalam agama Islam biarpun selepas bercerai atau hidup miskin dan lemah didikan agama.

    ReplyDelete
  2. saya mohon contact nombor PERKIM, USIA atau seumpamanya untuk menolong seorang gadis yang dikurung oleh ibu bapanya kerana bimbang gadis tersebut memeluk Islam. terangkan bagaimana cara untuk kita membantu gadis tersebut.

    Kenapa dalam blong ini, tiada sebarang no tel untuk dihubungi

    ReplyDelete
  3. MOHON SHARE ARTIKEL INI KEDALAM BLOG ANA ...... MABRUK ATAS PENULISANNYA SANGAT AWESOME.....

    ReplyDelete